Sunday, September 27, 2009

GURU PENDIDIKAN ISLAM, ANTARA KELEMAHAN DAN KEKUATAN

Isu kedudukan GPI di sekolah-sekolah selalu diperkatakan oleh ramai pihak sejak awal kemerdekaan seterusnya di sahut melalui Penyata Razak, Penyata Rahman Talib sehinggalah perlaksanaan KBSR, KBSM dan kemudiannya j-QAF. Terlalu banyak dikaitkan kelemahan GPI berbanding dengan kelebihan dan kekuatan yang terdapat dalam diri GPI. Apakah silapnya apabila GPI sering dipandang sinis apabila dikaitkan dengan pengurusan dan pentadbiran, pengajaran dan pembelajaran, pengetahuan am, teknologi maklumat dan sebagainya tetapi hanya di pandang tinggi dan diperlukan apabila melibatkan program keagamaan yang hanya bertujuan menjadi imam solat dan membaca doa???
Suasana ini berlarutan bukannya baru tetapi berlarutan sejak dulu, kini dan ……… sememangnya kelemahan yang diperkatakan ini berpunca dari sikap dan penampilan GPI itu sendiri. Sekiranya kita memperhalusi zaman persekolahan kita sehinggalah kita sendiri terlibat dengan dunia pendidikan maka apabila disebut GPI maka yang terlintas di dalam ruang pemikiran kita GPI adalah sekelompok guru yang penampilan yang agak selekeh, kurang bersemangat, sentiasa terkebelakang dalam program sekolah, mengajar sekadar melepaskan batuk, sentiasa bermalas-malasan dan kurang pergaulan dengan rakan taulan tetapi segelintirnya dipandang tinggi oleh masyarakat kerana kebolehan GPI mengajar dan membaca kitab di masjid-masjid.
GPI akan dipandang tinggi dan diperlukan apabila terdapat program-program yang berunsurkan keagamaan dan kerohanian serta majlis-majlis yang diperlukan untuk membaca doa. Adakalanya tiada kepercayaan pihak sekolah mahupun pihak-pihak lain untuk menyerahkan ssesuatu program yang besar kepada GPI kerana tiada keyakinan GPI dapat melaksanakan dan menguruskan dengan baik. Walaupun begitu masih terdapat GPI yang mampu memberi perkhidmatan terbaik tetapi malangnya kerana nila setitik maka rosaklah susu sebelanga.
Maka sewajarnya di era teknologi maklumat ini maka GPI mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan supaya kelemahan dan penghinaan terhadap GPI ini akan terkubur. GPI bukan sahaja berada dihadapan tatkala menjadi imam solat tetapi berada dihadapan dalam setiap perkara setanding dengan guru-guru dalam aliran lain. Jangan kita dihormati kerana pengetahuan agama sahaja tetapi dihormati sebagai manusia yang berilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang dan menjadikan diri kita sebagai orang yang diperlukan dan sekiranya kita tiada maka cacatlah sekolah kita. Sekiranya suasana ini berlaku maka masyarakat dan mereka yang berada di dalam dunia pendidikan akan memandang tinggi dan terkuburnya kata-kata cacian dan penghinaan terhadap GPI.
Jatidiri dan keinginan kita suatu hari nanti dari pentadbit sekolah sehinggalah Ketua Pengarah Pelajaran mahupun menteri akan lahir mereka dari aliran agama. Tatkala itu semua GPI akan tersenyum bangga bahawa kita mampu buktikan yang kita juga dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi. Seharusnya kita kena berjalan kehadapan bukan kebelakang supaya hasrat dan keinginan kita itu tidak menjadi mimipi tetapi menjadi realiti yang sukar diungkapkan….insyaallah…