Monday, June 22, 2009

Menyingkap Gerakan Pemuda suatu catatan ringkas………………

Sekiranya direnungi gerakan belia di dunia ini memberi impak yang sangat besar dalam menentukan situasi politik sesebuah negara. Tragedi Tianmen di China sebagai satu contoh satu gerakan yang diwarnai oleh golongan belia atau mahasiswa. Tidak ketinggalan Malaysia, pemikiran golongan belia yang dipelopori oleh golongan Mahasiswa banyak meninggalkan kesan pada senario politik negara. Namun setelah penguatkuasaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU 1971) telah meninggalkan kesan yang amat besar dalam gerakan belia dan pemikiran mahasiswa.

Satu sorotan………..

Jika dilihat banyak negara yang mengalami perubahan pola politik negara dipengaruhi oleh golongan belia terutama dari gerakan mahasiswa, contoh yang terdekat jiran kita Indonesia. Kejatuhan Suharto, Megawati Sukarno dan Gus Dur berpunca daripada desakan mahasiswa yang berjuang untuk keadilan sosial dan negara. Namun begitu tiada sebarang pernyataan dari ahli-ahli akademik mahupun politik yang membincangkan secara serius dan ilmiah perbezaan pemikiran dan kemampuan berfikir antara belia Indonesia dan Malaysia dalam memperjuangkan hak-hak rakyat dan isu-isu semasa dari dalam atau luar negara.

Malaysia suatu ketika dulu pernah memperlihatkan gerakan belia yang didokongi oleh mahasiswa dalam memperjuangkan isu-isu rakyat seperti Demontrasi Baling yang bertujuan memperjuangkan nasib petani dan penduduk Baling yang berada ditahap kemiskinan yang kritikal. Hasilnya ramai pemimpin mahasiswa telah ditangkap dan di ISA kan seperti, Fadhil Noor, Anwar Ibrahim, Muhammad Sabu, Hishamuddin Rais (sekadar beberapa nama yang berada dalam pembangkang) dan beberapa tokoh yang berada dalam UMNO sekarang. Gerakan belia sekali lagi telah menunjukkan taringnya pada tahun 1987 dalam isu-isu politik negara dan hasilnya kerajaan telah melancarkan Operasi Lalang yang menyebabkan ramai tokoh politik pembangkang ditangkap kemudian di sumbat dalam ISA.

Namun pada era 90 an sehingga sekarang kelesuan pemikiran melanda golongan belia yang pada hemat saya berpunca dari dasar Pendidikan Negara sendiri. Sejak dari sekolah menengah hingga ke peringkat pengajian tinggi golongan belia didedahkan dengan sejarah negara yang disogokkan dengan perjuangan UMNO-BN dalam memperjuangkan kemerdekaan negara dengan melupakan dan mengabaikan perjuangan tokoh-tokoh yang berhaluan kiri yang banyak menyumbang kearah kemerdekaan negara seperti Ahmad Boestaman, Dr Burhanuddin al-Helmi, Abdul Rahim Kajai dan lain-lain lagi. Sistem pendidikan negara kita hakikatnya menyekat pemikiran belia serta gagal dalam menanam semangat mencintai negara atau dalam kata lain membunuh semangat nasionalis dalam diri rakyat Malaysia.

Buktinya dapat kita lihat pada era ini, sebahagian besarnya muda-mudi yang berusia 20-an tidak mengambil tahu senario politik negara hatta mahasiswa sendiri pun. Cubalah disoal dan dikaji berapa ramai anak muda di universiti yang mengambil tahu hal ehwal semasa dan memain peranan dalam politik kampus. Hasilnya tidak sampai 30 peratus mahasiswa yang terbabit dan sebahagian besarnya yang terbabit dalam gerakan mahasiswa dikampus mereka yang ke

universiti melalui keputusan STPM bukannya dari matrikulasi. Maknanya mahasiswa yang bakal mendokong kepimpinan negara berada dalam keadaan yang amat teruk sekali dalam aspek pemikiran dan kematangan. Ini rasanya yang dikehendaki oleh UMNO-BN untuk mengekalkan kuasa.

Dulu, kini tidak selamanya…….

Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan titik hitam dalam sejarah negara kita apabila terjerumus didalam rusuhan kaum yang sejarah dan puncanya masih samar-samar dalam minda golongan muda. Ekoran daripada itu, demi perpaduan Melayu-Islam dan masa depan bangsa Melayu PAS telah menerima pelawaan UMNO untuk bersatu dalam pakatan UMNO-PAS. PAS ketika itu dibawah kepimpinan Datuk Asri Muda yang merupakan seorang nasionalis Melayu menerima kritikan yang hebat daripada penyokong-penyokong Pas sendiri dan PAS terpaksa menerima hakikat perpecahan dan wujudlah parti serpihan PAS seperti Hamim dan Berjasa di samping krisis kepimpinan yang wujud dalam PAS ketika itu. Namun ikatan PAS-UMNO tidak bertahan lama pada tahun 1977 PAS telah di pecat dari UMNO dan negeri tonggak kekuatan PAS telah di isytihar darurat dan jatuh ke tangan UMNO.

PAS dari gerakan Islam-Nasionalis telah berubah apabila kepimpinan PAS telah diambil alih oleh Tuan Guru Yusuf Rawa yang membawa kepada era kepimpinan ulama. Hasil gerakan melalui usrah dan ceramah kelompok PAS tetap berjaya meluaskan pengaruhnya terutama di kawasan Pantai Timur dan Utara tanah air. Pada ketika ini gerakan belia tetap memainkan peranan penting namun dibayangi dengan pengaruh ulama seperti ustaz Hassan Shukri dan lain-lain lagi.

Gerakan belia di dalam Pas memperlihatkan perubahan yang ketara ketika era Datuk Fadhil Noor sebagai Presiden PAS dan Ketua Pemuda di ketuai oleh Haji Muhammad Sabu seterusnya Haji Mahfuz Omar. Pada ketika ini pemuda PAS banyak memainkan peranan penting dalam isu-isu semasa yang memberi kesan besar pada pengaruh PAS di kalangan orang muda. Pada ketika ini perjuangan PAS yang dibawa oleh barisan pemuda menarik perhatian golongan muda khususnya mahasiswa maka ekoran pada ketika itu lahirlah GAMIS yang berjuang mempertahankan hak-hak kebebasan bersuara. GAMIS pada ketika itu dipimpin oleh Zaharuddin Abdul Rahman iaitu Presiden PMUM.

PAS dan Keadilan……..

Sebelum tahun 1999 tidak terdapat banyak pilihan yang boleh dipilih oleh golongan-golongan belia yang mempunyai idealisme dan idealogi untuk berada dalam parti politik iaitu hanya PAS dan UMNO. UMNO sebagai parti yang mendokong kepimpinan negara sejak merdeka menganggap hanya mereka sahaja parti ketuanan Melayu padahal hakikat yang tidak disedari PAS sendiri adalah parti untuk orang Melayu dan Islam. Perbezaan antara ke-duanya adalah dari segi dasar dn prinsip perjuangan. Kehadiran parti Keadilan dalam kancah politik negara telah meninggalkan kesan yang amat besar dalam senario politik negara terutama Melayu-Islam.

Keadilan pada awalnya dianggap sebagai parti serpihan dan akan terkubur seperti Semangat 46 telah membuktikan bahawa kehadirannya mampu digeruni oleh parti lawan dan kawan seperti ditunjukkan dalam PRU 12 apabila memenangi 31 buah kerusi Parlimen dan menguasai kerusi

DUN di Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Walaupun Keadilan parti berbilang kaum namun hakikatnya ia tetap di kuasai oleh Melayu.

Secara kritis ia merugikan parti politik pembangkang dan menguntungkan UMNO kerana golongan yang anti kerajaan mempunyai 2 pilihan tetapi tidak kepada parti pemerintah. Namun kelemahan kepimpinan parti pemerintah telah memberi keuntungan kepada parti-parti pembangkang dalam menambahkan keahlian. Pas sebagai sebuah parti yang telah lama bertapak di dalam kancah politik negara pada dasarnya merugikan diri parti itu sendiri.

Parti politik secara hierakinya akan dipimpin oleh golongan belia seterusnya diangkat ke peringkat tertinggi parti hasil komitmen yang diberikan kepada parti. Namun gerakan pemuda Pas di bawah kepimpinan Salahuddin Ayub, Mazlan Aliman, Nasaruddin Tantawi jauh ketinggalan apabila dibandingkan dengan idealisme dan perjuangan oleh AMK dari keadilan. Hasilnya berbondong-bondong profesional muda Melayu menyokong Keadilan berbanding dengan PAS. Gerakan PAS sendiri yang menumpukan secara total kepada program tarbiyyah dan sedikit pada isu-isu semasa tanpa memahami hasrat golongan belia masa kini merugikan Pas itu sendiri. Sikap keterbukaan yang ditonjolkan oleh Pemuda Keadilan dalam melaksanakan aktiviti kemasyarakatan lebih terkehadapan berbanding dengan Pas.

Sewajarnya Pas menyelami fikrah mantan presiden Datuk Fadhil Noor apabila meluahkan idea dan dasar parti diterjemahkan dengan program memasyarakatkan Pas. Idea ini bertujuan supaya Pas bersama masyarakat dalam pelbagai isu dan aktiviti setempat tanpa mengetepikan dasar parti. Namun fikrah ini semakin dilupakan. Aktiviti pemuda Pas kebanyakannya ditumpukan di markas-markas Pas dan bersifat in-house. Aktiviti pemuda Pas secara logiknya gagal menarik golongan belia untuk bersama Pas dan golongan bukan Islam untuk bersama-sama dengan Kelab Penyokong Pas. Cuba dibuat perbandingan pertambahan ahli antara Pas dan Keadilan dari golongan belia, boleh dipastikan ramainya menyertai keadilan. Sekiranya pemuda Pas tidak membuat perubahan dalam tempoh 15 tahun Pas akan ketandusan kepimpinan belia yang berkaliber.

Gerakan Pemuda Pas (satu tinjauan di Kubang Pasu )

Walaupun tinjauan ini hanyalah sekadar di Kubang Pasu tidak mustahil inilah masalah yang dihadapi oleh Pas-Pas kawasan di seluruh negara dari peringkat cawangan sehinggalah peringkat Pusat. Tinjauan ini cuba menjurus gerakan pemuda Pas untuk keuntungan politik parti kerana Pas itu sendiri merupakan sebuah parti politik. Sekiranya diperhatikan pemuda Pas Kubang Pasu berada dalam kelesuan terutama dalam menganjurkan program-program untuk parti dan belia. Aktiviti pemuda Pas cuma dijalankan di markas Pas kawasan dan program yang dianjurkan tidak mendapat sambutan kerana bersifat tertutup.

Pemuda Pas Kubang Pasu boleh diibaratkan umpama katak bawah tempurung kerana perubahan iklim politik dan perkembangan sains dan teknologi gagal diserapkan dengan sempurna oleh Pemuda Pas. Walhal dengan kemenangan yang diperolehi Pas Negeri, Pemuda Pas sepatutnya boleh bergerak dengan lebih efektif dan profesional dalam usaha menarik golongan belia kepada Pas kalau itu alasan yang diberikan sebelum ini. Selepas hampir 2 bulan selepas pilihanraya tiada sebarang usaha yang dilakukan oleh Pemuda untuk menganjurkan sebarang aktiviti walhal

sebagai sebuah parti politik dan kalah di Parlimen serta DUN sepatutnya terdapat usaha yang lebih jitu untuk menarik masyarakat bersama Pas.

Bukan bertujuan membuka pekung tetapi ini hakikatnya yang perlua diakui. Selepas pilihanraya Pemuda Pas menganjurkan program untuk sukarelawan Pas tetapi apa yang ditonjolkan Cuma kecetekan minda oleh Pemuda Pas. Hasrat yang disampaikan Pemuda Pas akan menganjurkan pelbagai program tetapi tidak kepada bola sepak. Alasan diberikan kerana bola melalaikan waktu sembahyang dan ramai anak muda masih bermain bola walau azan Maghrib sudah berkumandang. Alasan ini sebenarnya menunjukkan kebodohan dan kelemahan Pemuda Pas sendiri dalam membuat tinjauan di akar umbi. Permainan bola sepak sudah sinonim dengan golongan belia mahupun veteran dan sepatutnya sebagai sebuah parti Islam bukannya membunuh sukan yang diminati tetapi dengan mewujudkan unsur tarbiyyah dengan menghormati waktu solat ketika perlawanan diadakan dan kalau dilihat Stadium Mini Darul Aman sendiri tidak pernah mengadakan perlawanan hingga melepasi waktu Maghrib dan kebiasaannya pukul 7.00 petang telah tamat perlawanan. Pemuda Pas Kubang Pasu tidak membuat tinjauan atau mengambil sikap pandang negatif pada aktiviti yang tidak digemarinya.

Sukarelawan yang hadir pada malam tersebut majoritinya adalah pemuda dan belia kampung yang menyokong Pas dan membantu Pas semasa pilihanraya tanpa memahami agenda perjuangan Pas. Sewajarnya Pemuda Pas mengambil inisiatif dakwah bil hal selaras dengan pemikiran belia masa kini disamping menyelit secara tidak langsung prinsip perjuangan Pas dan unsur-unsur tarbiyyah supaya Pas dapat melahirkan pemuda yang mencintai agamanya.

Pemuda Pas juga gagal menterjemahkan perjuangan pemuda untuk kepelbagaian kaum. Apakah dan di manakah aktivitit serta program Pemuda Pas yang bersifat global atau keterbukaan untuk kaum bukan Melayu. PRU 12 merupakan peralihan undi bukan Melayu kepada Pas dan sewajarnya Pemuda Pas mengmbil inisiatif untuk menarik belia-belia dari bukan Melayu bersama dengan Pas melalui kelab Penyokong Pas tetapi sebaliknya kosong dan secara tidak langsung menguntungkan Keadilan apabila lapisan belia melihat Keadilan lebih proaktif berbanding kelesuan yang ditunjukkan oleh Pemuda Pas khususnya Pemuda Pas Kubang Pasu.

Menjadi satu hasrat untuk melihat satu reformasi atau anjakan paradigma berlaku dalam Pemuda Pas supaya terus relevan dengan arus politik masa kini. Perlu difahami sebagai sebuah parti politik gerakan dan program yang dianjurkan adalah untuk politik yang digemblengkan untuk kesejahteraan rakyat tetapi kalau minda Pemuda Pas lemah dan tidak bersifat keterbukaan akhirnya kita akan terkebelakang seterusnya tidak lagi relevan. UMNO yang mempunyai Putera UMNO, persatuan-persatuan belia dan keadilan dengan pemudanya yang proakif akan menenggelamkan Pemuda Pas sekiranya Pas tidak mencari jalan keluar

Wallahua`lam

1 comment:

Anonymous said...

salam.....mudahan anak muda kita dlm perubahan minda begini dapat menterjemahkan pemikiran dlm bentuk gerak kerja yg matang.selamat menggempor