Saturday, August 29, 2009

GERAKAN BELIA....TINJAUAN UMUM DI KUBANG PASU

Setelah lebih 500 hari kerajaan PR mengambil alih Kedah dari UBN pelbagai kesan dan impak dapat dilihat oleh rakyat yang berfikir. Pada pengamatan saya, peringkat awal pemerintahan PR lebih kepada membaik-pulih sistem pentadbiran dan pengurusan kerajaan. Oleh itu nikmat awal kerajaan baru cuma dirasai oleh golongan kontraktor dan golongan atasan. Sedikit demi sedikit nikmat pemerintahan kerajaan PR di Kedah mulai dirasai secara perlahan-lahan oleh golongan marhaen. Bagaimana pula dengan gerakan pemuda atau belia?
Tinjauan umum diseluruh negeri Kedah dan khususnya di daerah kubang Pasu, UMNO secara bersungguh-sungguh merangka pelbagai program dan aktiviti yang bertujuan untuk mendekati golongan belia dan memperolehi undi mereka pada PRU 13 nanti. Berjaya ataupun tidak bergantung sejauhmana UMNO berani berubah demi survival politik mereka kerana secara rosionalnya UMNO masih disokong oleh orang Melayu tetapi pendekatan politik mereka perlu berubah selaras dengan aspirasi rakyat supaya UMNO dapat kekal dalam arus politik di Malaysia.
Setelah PRU12 di Kubang Pasu terdapat segolongan belia yang berpendapat perlunya PR mewujudkan satu gerakan belia yang setanding dengan persatuan-persatuan belia yang menjadi kuda tunggngan UBN seperti MBM dan MAYC dsbnya. Hasilnya satu gerakan belia yang didokong oleh aktivis PAS telah berjaya ditubuhkan iaitu PEMBELA. Malangnya gerakan ini secara tidak langsung menjadi duri dalam daging kepada PAS Kubang Pasu kerana mereka banyak mengkritik PAS Kubang Pasu dan merancang untuk mengambilalih pentadbiran PAS di Tok Kesop.
Ekoran daripada itu usrah yang dirancang oleh PEMBELA secara jelas mengkritik kepimpinan PAS Kubang Pasu yang diterajui oleh speaker kerajaan negeri Kedah. Pelbagai kritikan diberikan hatta mengaitkan kelembapan aktiviti terutamanya aktiviti belia. Lantaran itu satu senarai AJK telah diedarkan pada AGM PAS Kubang Pasu dan menyaksikan team PEMBELA tewas teruk kerana perwakilan menolak agenda politik yang dibawa oleh mereka tetapi mereka berjaya menguasai gerakan Pemuda Pas Kubang Pasu.
Namun setelah hampir 6 bulan mengusai Pemuda Pas kubang Pasu suasana yang sama seperti dahulu. Umpama hanya pandai mengkritik tetapi apabila berkuasa hasilnya adalah sifar. Program himpunan pemuda dan BBQ perdana yang diadakan pada 31 Julai 2009 sebenarnya tidak membawa sebarang hasil dan kesan kepada PAS. Program tersebut hanyalah satu pembaziran dan bersifat takbur kepada UBN bahawa ramai belia di Kubang Pasu menyokong PAS tetapi adakah itu yang diperlukan oleh belia di Kubang Pasu. Program tersebut hanyalah datang untuk makan kemudian pulang kepada pangkuan diri tanpa sebarang intipati.
Sepatutnya setelah pandai mengkritik dahulunya, maka ketika ini Pemuda Pas Kubang Pasu membuktikan kritikan mereka dahulu bukan omong-omong kosong. Kalau dahulunya mengatakan tiada usrah Pemuda maka sekarang arahkan kepada setiap cawangan, UPU dan MTD supaya diadakan usrah Pemuda setiap minggu. Kalau dulu mengatakan tiada aktiviti belia dan Pemuda Pas hanya berkelubung di Markas Tok Kesop tetapi sekarang dimana program Pemuda yang langsung tiada sehingga hari ini walau di markas mahupun diluar markas? Kalau dulu sekurang2nya terdapat juga pelbagai program walaupun Cuma dijalankan di markas Tok Kesop. Adakah kepimpinan Pemuda Kubang Pasu pada hari ini Cuma pandai bercakap walhal pihak UBN telah menjalankan pelbagai aktivti dan program di segenap pelusuk kampung. Program yang dijalankan dari bentuk yang sosial sehinggalah bersifat kerohanian.
Adakah taring Pemuda/PEMBELA yang dulunya lantang mengkritik tetapi hari ini telah tumpul apabila berjaya mengambil alih pentadbiran setelah mensyuarat agung yang lalu? Masyarakat belia khususnya di Kubang Pasu setiap detik memerhatikan peranan Pemuda Pas pada hari ini. Sewajarnya, mulai hari ini kita rapatkan saf dan dengan perasaan yang rendah hati bekerjasama dengan Pas Kawasan demi memastikan PRU13 nanti Kubang Pasu serta dua dewan undangan negerinya dikuasa oleh PR. Jangan jadi seperti orang yang meludah kelangit tetapi akhirnya ludah itu kembali ke muka kita. Sewajarnya mereka yang bersalah insaf dengan kekurangan diri dan kembali kepada semangat perjuangan yang sebenar. Insyaallah.

No comments: