Saturday, August 1, 2009

SUBJEK SEJARAH DI SK???

Terdapat kawan-kawan yang sering mengunjungi blog ini meminta supaya saya keluarkan pandangan mengenai isu ini. Rasa bangga juga disebabkan baru bermain dengan blog tetapi sudah terdapat peminat yang memberi respon positif dan ingin mendapatkan pandangan daripada saya. Pandangan tetap pandangan, menerima atau menolak semuanya atas pendirian masing-masing.
Sejarah merupakan intipati penting dalam membentuk jiwa dan semangat kenegaraan dikalangan penduduk sesebuah negara. Negara-negara luar telah membentuk jiwa rakyat mereka sejak dari peringkat rendah pengajian. ini jelas kalau kita lihat sebuah rancangan terbitan Amerika iaitu ARE YOU SMARTER THAN 5TH GRADE, dapat kita lihat pelajar seusia 10 tahun dapat mengingati sejarah negara mereka sejak presiden pertama sehingga sekarang termasuk sumbangan yang mereka berikan. Bagaimana dengan murid kita? Rasanya pengasas Melaka, Parameswara belum tentu mereka kenal apatah lagi Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
Saya amat bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan subjek Sejarah di sekolah rendah sebagai satu kaedah membentuk jatidiri dan mewujudkan masyarakat Malaysia yang matang dan bersifat patriotik tetapi sekiranya diwujudkan semata-mata untuk kepentingan politik lebih baik dilupakan sahaja. Kalau dilihat dalam buku sejarah tingkatan 1 hingga 5 sejarah hanya dikenalkan melalui satu hala atau dengan kata lain meletakkan UMNO dan BN ( dulunya PERIKATAN ) sebagai pejuang kemerdekaan dan pengasas sejarah Malaysia dengan menafikan perjuangan kemerdekaan oleh tokoh-tokoh lain yang menyebabkan masyarakat Malaysia pada hari ini buta sejarah Malaysia yang sebenar. Sehingga hari ini Mustafal Kamal Attaturk dianggap sebagai bapa pemodenan Turki walhal dunia Islam mengutuk tindakan beliau dan dianggap sebagai manusia yang dilaknat oleh Allah taala.
Satu kajian yang dibuat menunjukkan lapisan pelajar di IPTA lebih bersifat nasionalisme dan mempunyai kesedaran politik yang tinggi adalah mereka yang masuk ke IPTA melalui jaringan STPM tetapi melalui matrikulasi mempunyai pengetahuan sejarah yang cetek dan semangat patriotik yang ampuh. Ini disebabkan pelajar STPM didedahkan dengan pengetahuan sejarah yang lebih menyeluruh dan terbuka serta memperoleh maklumat dengan lebih banyak dan bebas dari pengaruh politik kepartian dan secara tidak langsung memberi kesedaran yang tinggi.
Pada pandangan saya tindakan kerajaan adalah amat bertepatan tetapi hakikatnya sudah terlambat kerana negara kita telah merdeka lebih 50 tahun. Sekiranya direalisasikan adalah wajar ia meliputi sejarah kita yang sebenar bukan hanya kepentingan politik kepartian dan seandainya bersifat sedemikian maka ia akan menemui kegagalan sepertimana generasi Malaysia yang ada pada hari ini, tidak kenal sejarah negara mereka sendiri. Wallahua`lam

No comments: